Jumaat, 28 Januari 2011
Sakit Yang Mesti Ditempuh
1) Menundukkan ego
Tidak mudah seorang suami misalnya, hendak menundukkan ego di depan isteri. Demikian juga isteri untuk menundukkan ego di depan suami terutama jika isteri rasa mempunyai sedikit kelebihan dari suami. Dalam menjalani kehidupan, ada waktu-waktunya ego akan tercabar. Untuk menundukkan ego, hati akan rasa menderita dan sakit.
2) Mengawal marah
Ego dan sombong membuatkan mudahnya tercetus rasa marah dan tindakan marah-marah. Di rumah, di pejabat atau semasa memandu di jalan raya, ada saja insiden yang boleh mencetuskan rasa marah – sedikit atau banyak. Untuk mengawal marah perlukan kekuatan melawan nafsu. Ini memang susah kerana nafsu yang tidak boleh dilihat dan dipegang itu sangat degil. Susah untuk dikekang. Lebih-lebih kalau sudah terbiasa dilayan dan dipenuhi segala keinginannya, tentu tidak mudah untuk ditundukkan tanpa rasa susah dan sakit.
3) Membuang rasa malas
Malas beribadah, malas buat baik, malas untuk bersusah-susah… semua ini tabiat nafsu yang perlu dilawan-lawan. Nafsu akan buat berbagai-bagai alasan untuk mengajak diri kita bermalas-malas. Melawan ajakan nafsu ini memang susah dan kadang-kadang menyakitkan. Ikutkan nafsu, kita suka bersenang-lenang saja sementara waktu lapang. Tak payah susah-susah mengaji Quran, solat sunat, berzikir, berselawat, bersedekah dan buat macam-macam amal baik.4) Membebaskan diri dari tabiat buruk mata, mulut, telinga dan lain-lain anggota
Nafsu sentiasa mengajak mata menonton apa-apa yang dilarang Allah atau yang melalaikan kita dari ingatan pada Allah. Atau memandang sesuatu yang boleh merangsang syahwat. Nafsu juga kuat mendorong mulut bercakap yang sia-sia dan boleh mendatangkan dosa seperti mengata orang dan memfitnah. Nafsu juga mengajak telinga mendengar yang haram, mengajak tangan dan kaki melakukan dosa. Untuk melawan semua ajakan nafsu ini, hati akan rasa sakit. Walaupun susah dan sakit, apa saja yang kita hadapi dan jalani dalam hidup, wajib kita terima dengan sabar, redha, syukur, merendah diri dan berbaik sangka dengan Allah dan dengan sesama manusia.
SIFAT HATI YANG KOTOR DAN MATI
- Tahu hak Allah tetapi tidak menunaikannya.
- Tahu bahawa Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah namun mengabaikan sunnah baginda.
- Tahu bahawa Al-Quran itu panduan umat Islam namun tidak pernah beramal dengan hukum yang terkandung di dalamnya.
- Tahu bahawa syurga itu penuh dengan kenikmatan dan disediakan untuk orang beriman, namun tidak pernah beramal untuk mendapatkannya.
- Tahu bahawa neraka itu penuh dengan azab seksa yang disediakan untuk mereka yang engkar, namun tidak pernah berusaha menjauhinya.
- Tahu bahawa kematian itu pasti, namun tidak memperlengkapkan diri dengan amal soleh bagi menghadapi kematian.
Langgan:
Catatan (Atom)



